Blogger Widgets ***************SweeT_Girlz*************** ✿◕‿◕✿ DaLaM HaTi aDa FuN FaiR ✿◕‿◕✿: ADAT SEZAMAN – Wan Nazihah Wan Abdullah Blogger Widgets

Search my Blog

Monday, November 8, 2010

ADAT SEZAMAN – Wan Nazihah Wan Abdullah


Maksud

Peradaban zaman semakin berlalu
meninggalkan kesan mendalam
terlalu indah apabila dipandang
terlalu mulia apabila diselidik
santun si dara jadi idaman
warak si teruna jadi ikatan
si tua tersenyum mesra
memandang teruna dara
sama cantik sama padan
berganding bersama
di singgahsana ...

Penyajak mengutarakan pandangan bahawa tamadun sesuatu zaman kian berlalu dan amat mempengaruhi kehidupan semasa. Warisan lama ini begitu elok jika diperhatikan dan amat bermakna jika dikaji.Budi luhur seorang gadis akan menyebabkan dirinya menjadi idaman teruna, manakala sifat alim pemuda menjadikan dirinya mempunyai tarikan yang tersendiri. Orang tua berasa gembira apabila menyaksikan teruna dan dara yang begitu sepadan bersanding di pelamin.

Masa itu telah jauh
zaman sudah berlalu
santun sang dara
dan warak sang teruna telah lenyap



Bagi penyajak, era itu telah semakin ditinggalkan. Kesantunan si gadis dan sifat warak seorang teruna telah tiada lagi.

si tua berduka lara
memandang teruna dara
berganding tanpa silu
tanpa hormat
tanpa batasan


Orang tua berasa kecewa apabila menyaksikan pemuda dan pemudi berdua-duaan tanpa ada rasa malu, tanpa rasa hormat, dan melampaui had yang sepatutnya.

adat sezaman ditinggal jauh
adat agama dipandang remeh
adat kuning jadi ikutan

Norma masyarakat yang diamalkan selama ini semakin tidak dipedulikan. Hukum agama dipandang mudah oleh muda-mudi. Mereka lebih terpengaruh oleh budaya Barat.

Tema

Perubahan budaya akibat peredaran zaman. Muda-mudi berubah sikap terhadap adat dan norma masyarakat. Muda-mudi dahulu berpegang teguh pada adat dan tatasusila. Ciri positif ini tidak lagi dimiliki oleh muda-mudi zaman ini yang semakin tersasar daripada nilai yang sepatutnya diamalkan oleh mereka. Pegangan agama juga semakin longgar.

Persoalan

1. Peradaban manusia yang semakin terhakis – cara hidup manusia semakin berubah seiring dengan perubahan masa.

2. Perbezaan tingkah laku antara muda-mudi dahulu dan sekarang – muda-mudi dahulu menjaga adab dan tingkah laku berbanding dengan muda-mudi sekarang yang tersasar daripada warisan silam.

3. Kekecewaan generasi tua – generasi tua kecewa dengan perlakuan generasi sekarang yang kian hilang nilai hormat-menghormati dan tidak menjaga batas-batas pergaulan.

4. Generasi muda yang kian hanyut – muda-mudi kini semakin mengabaikan agama, adat dan mereka kerap kali mengagung-agungkan budaya Barat.

Nada

Sajak ini bernada melankolik.

Bentuk

1. Terdiri daripada 1 rangkap dan jumlah baris ialah 23.

2. Jumlah perkataan dalam setiap baris antara 2 hingga 6 patah perkataan.

3. Rima akhirnya bebas.

Gaya Bahasa

1. Inversi – terlalu indah apabila dipandang.

2. Peribahasa – sama cantik sama padan.

3. Repetasi – sama cantik sama padan.

4. Perlambangan – Adat kuning jadi ikutan (adat kuning bermaksud budaya Barat)

5. Anafora – terlalu indah apabila dipandang, terlalu mulia apabila diselidik.

6. Asonansi – memandang teruna dara (pengulangan vokal a)

7. Aliterasi – si tua tersenyum mesra (pengulangan konsonan s)

Nilai

1. Hormat-menghormati – apabila kita melakukan sesuatu, kita seharusnya menghormati orang lain di sekeliling kita.

2. Semangat bermasyarakat – oleh sebab kita hidup bermasyarakat, semangat bermasyarakat harus diamalkan.

3. Berhemah tinggi – generasi dahulu lebih berhemah tinggi berbanding generasi hari ini.

4. Rasional – orang yang rasional tidak akan melakukan sesuatu yang tidak disenangi oleh orang lain.

5. Bekerjasama – setiap anggota masyarakat mestilah bekerjasama untuk mempertahankan norma-norma masyarakat.

Pengajaran

1. Kita mestilah menghormati orang lain apabila melakukan sesuatu.

2. Masyarakat mestilah mempertahankan adat yang diamalkan selama ini.

3. Muda-mudi mestilah menjadikan agama sebagai pegangan hidup.

4. Kita mestilah berusaha untuk menjadi seorang yang baik.

5. Kita mestilah menjauhi budaya Barat yang bertentangan dengan budaya kita.

1 comment: