Maksud
Semakin berat kejahilan
terpikul di bahu
semakin jauh perjalanan
memburu nur-Mu.
D : Penyajak menjelaskan apabila manusia hidup bertunjangkan kejahilan, maka semakin sukar baginya untuk memperoleh cahaya Ilahi.
Sewaktu berlari di padang hidup
kerap kakiku tersadung selirat akar
tubuhku tercalar duri pidana
pada samar kejauhan
ancala mulia makin kabur
dan menghilang.
D : Menjelaskan bahawa dalam menjalani kehidupan, manusia sering terperangkap dan terjebak melakukan kejahatan kerana dirinya jauh daripada Tuhan. Sifat mulia semakin dijauhi dan terus menghilang.
Sekadar songsang aksara kata
tanpa kembali ke tunjang makna,
“Apakah dalam saraf khilaf
masih terbuka ruang untuk
dianugerahkan keinsafan?”
D : Penyajak menyatakan bahawa manusia hanya memperkatakan sesuatu, tetapi tidak kembali kepada hakikat yang sepatutnya menjadi pegangan. Ditimbulkan persoalan tentang kemungkinan ruang keinsafan dianugerahkan kepada manusia yang kerap melakukan kejahatan.
Rabb,
moga pintu taubat-Mu terbuka
sebelum api dari bara itu menyala.
D : Penyajak merayu kepada Ilahi agar pintu taubat sentiasa terbuka kepada manusia sebelum mereka
menerima balasan di neraka.
Tema
Kesedaran/keinsafan manusia untuk kembali ke jalan kebenaran. Semakin kita mengabaikan hukum Tuhan semakin jauh kita daripada-Nya. Jadi manusia perlu kembali kepada-Nya sebelum terlambat.
Persoalan
1. Kejahilan akan menjauhkan manusia daripada Tuhan – semakin kita mengabaikan perintah Tuhan, semakin jauhlah Tuhan daripada kita.
2. Kehidupan yang dipengaruhi oleh unsur kejahatan – dalam kehidupan ini manusia terdedah kepada pelbagai unsur yang mendorong kita untuk melakukan kejahatan dan manusia sering tewas.
3. Mengharapkan ruang keinsafan – di sebalik segala kesalahan yanh dilakukan, penyajak berharap agar ruang keinsafan tetap terbuka.
Nada
Sajak ini bernada melankolik.
Bentuk
1. Terdiri daripada 4 rangkap dan bilangan baris dalam setiap rangkap tidak sama. Rangkap 1 ialah 4 baris, rangkap kedua ialah 6 baris, rangkap ketiga ialah 5 baris, dan rangkap keempat ialah 3 baris.
2. Jumlah perkataan dalam setiap baris juga adalah tidak sama, iaitu antara 1 hingga 6 patah kata.
3. Rima akhirnya adalah bebas.
Gaya Bahasa
1. Inversi – Kerap kakiku tersadung...
2. Sinkope – Tubuhku tercalar duri pidana.
3. Perlambangan – sebelum api dari bara itu menyala. (api dari bara itu melambangkan neraka)
4. Metafora – padang hidup.
5. Anafora – Semakin berat kejahilan, semakin jauh perjalanan.
6. Asonansi – “Apakah dalam saraf khilaf...” (pengulangan vokal ‘a’)
7. Aliterasi – Sekadar songsong aksara kata. (pengulangan konsonan ‘s’)
Nilai
1. Bertanggungjawab – manusia bertanggungjawab untuk kembali semula kepada Tuhan setelah melakukan pelbagai kesalahan atau dosa.
2. Keikhlasan – keikhlasan seorang hamba untuk kembali ke pangkal jalan.
3. Keinsafan – insaf bahawa dirinya semakin jauh daripada Tuhan.
4. Kebebasan – manusia bebas untuk membuat keputusan sendiri untuk menentukan hala tuju hidupnya.
5. Kebersihan fizikal dan mental – dalam kehidupan kita kebersihan mental amat perlu supaya kita terhindar daripada melakukan kejahatan.
Pengajaran
1. Kita mestilah mematuhi hukum Tuhan.
2. Kita mestilah berusaha untuk kembali ke pangkal jalan setelah melakukan pelbagai kesalahan/dosa.
3. Manusia seharusnya memanfaatkan kebebasan yang diberikan kepadanya dengan melakukan perkara yang baik.
4. Kita perlulah berhati-hati semasa melakukan sesuatu supaya kita tidak akan menyesal kemudian hari.
No comments:
Post a Comment