Blogger Widgets ***************SweeT_Girlz*************** ✿◕‿◕✿ DaLaM HaTi aDa FuN FaiR ✿◕‿◕✿: DI PERPUSTAKAAN – Shafie Abu Bakar Blogger Widgets

Search my Blog

Monday, November 8, 2010

DI PERPUSTAKAAN – Shafie Abu Bakar

Maksud

Melangkah ke ruangmu
Satu pertukaran yang kontras
Dari kehangatan merata
Ke kedinginan yang menerpa
Terlalu hening di sini
Gua pendeta bersemadi
Di puncak sepi
Di sana sini
Kepala-kepala runduk meneliti
Mata dan fikir bersebati


Penyajak menjelaskan bahawa tatkala memasuki perpustakaan dia terasa akan sesuatu yang bertentangan, iaitu daripada keadaan yang panas kepada keadaan yang sejuk. Keadaan di perpustakaan sangat senyap dan menjadi tempat orang yang berilmu terus mencari ilmu di situ. Di mana-mana sahaja kelihatan pengguna perpustakaan tunduk meneliti sumber ilmu.

Maju ke ruang buku
Terlalu kerdil aku di sini
Terapung di laut ilmu
Tercurah berzaman
Dalam tak terselam
Betapapun kulayari
Bahtera ilmu di sini
Tak terteroka
Yang akan kucatat
Hanya setitik dari tinta
Yang akan kupetik
Hanya sebiji dari mutiara
Engkau adalah pusaka moyang
Gedung peradaban insan
Terhimpun berzaman

Penyajak membawa pembaca mengamati ruang koleksi buku. Dia berasakan bahawa dirinya terlalu kerdil di situ kerana terlalu banyak buku di situ yang sesetengahnya telah begitu lama disimpan dan dirujuk. Sesungguhnya terdapat terlalu banyak sumber ilmu di situ dan tidak mungkin penyajak mampu membaca kesemuanya. Menurut penyajak lagi, segala yang dicatatnya terlalu sedikit jika dibandingkan dengan lautan ilmu yang ada di situ. Perpustakaan merupakan pusaka tinggalan generasi terdahulu yang tersimpan khazanah peradaban manusia sejak sekian lama.

Bersemadi di sini
Aku adalah pelayar yang dahaga
Di dada samudera
Tak berpantai
Betapapun kuteguk darinya
Dahaga tidak pernah langsai

Penyajak berasakan bahawa berada di perpustakaan menjadikan dirinya seorang yang dahaga akan ilmu yang berada di gedung ilmu yang begitu luas. Menurut penyajak, walaupun banyak ilmu telah diperolehnya di perpustakaan, tetapi keinginannya untuk terus meneroka ilmu di situ tidak akan berkesudahan.

Tema

Perpustakaan sebagai gedung ilmu – perpustakaan menjadi tempat penyajak dan manusia yang lain meneroka dan memperoleh pelbagai ilmu.

Persoalan

1. Keperluan ilmu dalam kehidupan – untuk menempuh kehidupan, memiliki ilmu menjadi suatu kewajiban. Atas kesedaran ini, ramai yang berkunjung ke perpustakaan.

2. Ilmu tiada sempadannya – ilmu tidak pernah ada garis penamatnya. Semakin banyak kita mengkaji sesuatu semakin banyak perkara yang sebenarnya kita belum tahu.

3. Perpustakaan sebagai sumber rujukan peradaban manusia – perpustakaan menyimpan pelbagai buku yang merakamkan perkembangan peradaban manusia tanpa batas waktunya.

4. Keadaan di perpustakaan yang kondusif untuk mencari ilmu – perpustakaan merupakan tempat yang sunyi dan penuh dengan ilmu. Ramai orang mencari ilmu di sini.

Nada

Sajak ini bernada nostalgik.

Bentuk

1. Terdiri daripada 3 rangkap dan bilangan baris dalam setiap rangkap tidak sama. Rangkap 1 ialah 10 baris, rangkap 2 ialah 15 baris, dan rangkap 3 ialah 6 baris.

2. Jumlah perkataan dalam setiap baris juga adalah tidak sama, iaitu antara 2 hingga 5 patah kata.

3. Rima akhirnya adalah bebas.

Gaya Bahasa

1. Inversi – Terlalu kerdil aku di sini.

2. Sinkope – Melangkah ke ruangmu, dan Tak berpantai.

3. Personifikasi – Di dada samudera.

4. Perlambangan – Bahtera ilmu di sini.

5. Hiperbola – Dahaga tak pernah langsai.

6. Anafora – Di puncak sepi, Di sana sini.

7. Asonansi – Dahaga tak pernah langsai (pengulangan vokal ‘a’)

8. Aliterasi – Di dada samudera (pengulangan konsonan ‘d’)

Nilai

1. Mematuhi peraturan – di perpustakaan situasinya sepi kerana masing-masing mematuhi peraturan supaya tidak bising.

2. Ketekunan – pengguna perpustakaan tekun mendapatkan maklumat daripada sumber yang dibaca.

3. Keinsafan – penyajak insaf bahawa masih banyak ilmu yang belum diteroka.

4. Kerajinan – orang yang rajin, komited mencari ilmu dan maklumat di perpustakaan.

5. Menghargai warisan ilmu – perpustakaan menyimpan pelbagai maklumat yang diturunkan daripada satu generasi ke generasi yang lain dan warisan ini perlu dihargai.

Pengajaran

1. Kita mestilah mematuhi peraturan yang ditetapkan apabila mengunjungi perpustakaan.

2. Kita mestilah tekun dalam usaha mencari ilmu.

3. Kita perlulah sedar bahawa ilmu tiada ada hadnya.

4. Kita mestilah memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan di perpustakaan.

5. Kita seharusnya menghargai warisan generasi lama yang diturunkan dalam bentuk penulisan.

No comments:

Post a Comment