Blogger Widgets ***************SweeT_Girlz*************** ✿◕‿◕✿ DaLaM HaTi aDa FuN FaiR ✿◕‿◕✿: MAHSURI – Zurinah Hassan Blogger Widgets

Search my Blog

Monday, November 8, 2010

MAHSURI – Zurinah Hassan

Maksud

Selendangmu mengibar di pantai

menyambut tetamu pulau

setiamu menjadi lagu

nyanyian ombak pagi

rambutmu menjadi jalur hitam

terapung di laut malam

air matamu dingin embun

jatuh di tujuh telaga

dendam tujuh keturunan

melengkung tujuh tanjung

putihlah pulau ini

disimbah darah suci

Mahsuri

sumpah itulah yang telah menghidupkan Langkawi

kerana tanpamu

Langkawi tidak sebegini.

D : Penyajak membicarakan nama Mahsuri amat sinonim dengan Pulau Langkawi yang sentiasa menerima tetamu. Sejarah hidupnya sentiasa diperkatakan. Penderitaan yang dialaminya terakam pada kesan tinggalan (telaga tujuh). Selama tujuh keturunan Langkawi menerima padah akibat sumpahan Mahsuri. Tiada pembangunan di situ akibat bumi Langkawi disimbah darah orang yang tidak bersalah. Sumpahan Mahsuri sebenarnya telah menjadikan Langkawi begitu terkenal seperti sekarang.

Kata orang Mahsuri tidak pernah hidup

dia hanya bermula dengan

khayalan seorang seniman

pun kata orang Mahsuri pernah hidup

tetapi bahasa seorang pencerita

membuat dia lebih hidup dari kehidupannya

sastera yang mewarnai tanah air

kerana tanpa Mahsuri

Langkawi tidak sebegini bererti.

Mahsuri membesarkan Langkawi

sastera membesarkan tanah air.

D : Penyajak beranggapan ada orang yang mengatakan bahawa Mahsuri sebenarnya tidak pernah hidup. Kewujudan Mahsuri hanyalah berdasarkan khayalan seorang penulis. Ada orang yang mengatakan bahawa Mahsuri sememangnya wujud. Walau bagaimanapun, bahasa yang digunakan oleh seorang penulis menjadikan kisah Mahsuri lebih hebat daripada kehidupannya yang sebenar. Sastera mempunyai peranan penting di negara kita. Tanpa kisah Mahsuri, Langkawi tidak akan membangun seperti hari ini. Mahsuri menjadikan Langkawi begitu terkemuka dan sastera pula telah menjadikan negara kita dikenali.

Tema

Kehebatan pembangunan Langkawi kerana kemasyhuran Mahsuri. Kisah hidup Mahsuri menjadikan Langkawi begitu terkenal kerana pelbagai peristiwa menarik yang berlaku terhadapnya ingin diketahui umum.

Persoalan

1. Perubahan yang berlaku di Langkawi – keadaan Langkawi amat berbeza selepas tamatnya sumpahan Mahsuri.

2. Kemasyhuran kisah Mahsuri – kisah Mahsuri diketahui umum menyebabkan ramai yang tertarik untuk ke Langkawi untuk melihat tinggalan Mahsuri.

3. Peranan sastera dalam memasyhurkan Mahsuri dan Langkawi – penulis bertanggungjawab menjadikan kisah Mahsuri begitu hebat daripada kehidupan Mahsuri yang sebenarnya.

4. Pandangan tentang kewujudan Mahsuri – kewujudan Mahsuri menimbulkan polemik, iaitu sama ada dia wujud atau sebaliknya.

Nada

Sajak ini bernada nostalgik.

Bentuk

1. Terdiri daripada 2 rangkap dan bilangan baris dalam setiap rangkap tidak sama. Rangkap 1 ialah 16 baris, manakala rangkap 2 ialah 11 baris.

2. Jumlah perkataan dalam setiap baris juga adalah tidak sama, iaitu antara 1 hingga 6 patah kata.

3. Rima akhirnya adalah bebas.

Gaya Bahasa

1. Inversi – Melengkung tujuh tanjung.

2. Sinkope – Selendangmu mengibar di pantai.

3. Personifikasi – Nyanyian ombak pagi.

4. PerlambanganAir matamu dingin embun.

5. Hiperbola – dendam tujuh keturunan, melengkung tujuh tanjung.

6. Metafora – Air matamu dingin embun.

7. Asonansi – sastera yang mewarnai tanah air (pengulangan vokal ‘a’)

8. Aliterasi – rambutmu menjadi jalur hitam (pengulangan konsonan ‘m’)

Nilai

1. Kreatif – kekreatifan penulis menjadikan perjalanan kehidupan Mahsuri kelihatan begitu hebat.

2. Menghargai sastera – sastera dihargai kerana mampu menjadikan negara kita dikenali dan hebat.

3. Kesyukuran – nilai ini timbul kerana Langkawi telah bebas daripada sumpahan Mahsuri dan kini berkembang maju.

4. Rasional – berfikiran rasional akan menjauhkan kita daripada memiliki sifat dendam dan hasad dengki.

Pengajaran

1. Kita mestilah menggunakan kekreatifan yang kita miliki untuk memartabatkan negara yang tercinta.

2. Kita tidak seharusnya memiliki sifat dendam.

3. Kita mestilah mengingati tokoh yang menjadikan negara kita terkenal.

4. Kita mestilah bersyukur atas kemajuan yang kita kecapi hari ini.

No comments:

Post a Comment