Blogger Widgets ***************SweeT_Girlz*************** ✿◕‿◕✿ DaLaM HaTi aDa FuN FaiR ✿◕‿◕✿: Tiba Waktunya - Ghazali Lateh Blogger Widgets

Search my Blog

Monday, November 8, 2010

Tiba Waktunya - Ghazali Lateh

Maksud

Angin musim semakin deras dan ganas
meniup tamadun ke era yang pantas
lihatlah siapa mereka yang memanjang langkah
merebut tunas-tunas harapan yang hijau
dari putik dan pucuk berembun kemilau.

Penyajak membicarakan soal perubahan masa yang kian pantas dan mengubah peradaban manusia dengan begitu cepat. Penyajak meminta kita mengenal pasti mereka yang pantas mengambil kesempatan daripada pelbagai peluang yang ada.

Haruskan kita tunduk mengutip sisa-sisa

atau berada di sana meraih sejahtera?
Usah kautanya persoalan dilema
kerana ini bukan waktunya
untuk berhujah perlu tidaknya
dan masa pun tidak akan menanti
buat mewajar padah atau simpati.

Penyajak bertanyakan sama ada kita perlu mengalah atau turut memanfaatkan peluang yang ada untuk memperolehi keuntungan. Kita tidak perlu membangkitkan soal ketidaktentuan kerana persoalan tersebut tidak sesuai untuk diperkatakan.

Wanita zaman siber

perlu mengacung minda ke tengah arena
suara dan kudratmu adalah pemangkin aspirasi
menuju wawasan era globalisasi.

Dijelaskan bahawa wanita pada zaman siber perlu menghalakan minda mereka dalam arus perdana. Suara dan tenaga wanita menjadi pemangkin dalam usaha menangani cabaran era globalisasi.

Lepaskan segala belenggu kedaifan

huraikan segala keliru kekusutan
wanita zaman ini perlu bangun berani
yakin diri tahan diuji
tinggi pekerti anggun gerak-geri
terunggul dalam segala segi.

Wanita diminta untuk melepaskan diri daripada lingkungan kesusahan dan membebaskan diri daripada sebarang kekeliruan. Wanita mesti mempunyai budi pekerti yang baik dan berkelakuan terpuji serta unggul dalam semua perkara.

Mari kita jana semua upaya

dalam menjulang citra seluruh wanita
dengan kudrat mental juga fizikal
berbekal iman dan semangat cekal
kita gerakkan kemampuan yang pukal.

Penyajak menyeru wanita supaya menjana seluruh kekuatan untuk mengangkat martabat wanita seluruhnya. Menerusi kekuatan pemikiran dan lahiriah, di samping bekalan iman dan semangat yang kental, wanita perlu mengerah keupayaan secara menyeluruh.

Kini sudah tiba waktunya

kita bertakhta di persada dunia.

Penyajak menjelaskan bahawa kini sudah tiba masanya wanita berada pada kedudukan tertinggi di persada dunia.

Tema

Persiapan yang perlu dilakukan oleh wanita dalam menghadapi era globalisasi tanpa meninggalkan ciri-ciri kewanitaan yang unggul.

Persoalan

1. Masa tidak menunggu kita – masa tidak pernah menunggu tindakan manusia. Masa sentiasa berubah dan tidak boleh dikembalikan.

2. Keperluan manusia bertindak secara proaktif – dalam kehidupan ini, manusia mesti bertindak pantas merebut peluang yang ada supaya kita tidak ketinggalan.

3. Kelebihan yang dimiliki wanita – wanita mempunyai kehebatan masing-masing. Idea dan tenaga wanita penting untuk merencanakan masa depan.

4. Ciri-ciri wanita unggul – wanita unggul mesti berilmu, berani menempuh hidup, mempunyai keyakinan diri, dan sedia diuji, dan menjaga perlakuan.

5. Seruan kepada wanita – wanita diminta bersama-sama mengerah kekuatan dan kelebihan yang ada untuk mencapai hasrat dan cita-cita wanita.

Nada

Sajak ini bernada protes.

Bentuk

1. Terdiri daripada 6 rangkap dan jumlah baris dalam setiap rangkap tidak sama.

2. Jumlah perkataan dalam setiap baris antara 3 hingga 6 patah perkataan.

3. Rima akhirnya adalah bebas.

Gaya Bahasa

1. Inversi – Usah kautanya persoalan dilema.

2. Sinkope – Usah kautanya persoalan dilema.

3. Personifikasi – Angin musim semakin deras dan ganas.

4. Perlambangan – Angin musim semakin deras dan ganas (angin musim melambangkan perubahan masa)

5. Hiperbola – Kita bertakhta di persada dunia.

6. Asonansi – Lepaskan segala belenggu kedaifan. (pengulangan vokal e)

7. Aliterasi – Tinggi pekerti anggun gerak-geri. (pengulangan konsonan g)

Nilai

1. Keberanian – wanita perlu berani menghadapi era globalisasi.

2. Bekerjasama – wanita seharusnya bekerjasama untuk menjulang martabat wanita.

3. Berhemah tinggi – walaupun wanita diminta berani mendepani cabaran zaman, tetapi mereka harus menjaga budi pekerti dan tingkah laku.

4. Rasional – Dalam apa-apa jua tindakan manusia, khususnya wanita harus rasional supaya kita tidak tersilap perhitungan.

5. Berdikari – untuk mengejar kemajuan dan meningkatkan martabat wanita, mereka mesti mempunyai sifat berdikari mengerah seluruh kekuatan diri.


Pengajaran

1. Wanita mestilah berani menempuhi cabaran era globalisasi.

2. Kita perlu sedar bahawa masa sentiasa meninggalkan kita.

3. Kita hendaklah memanfaatkan segala peluang yang tersedia di hadapan kita.

4. Wanita mestilah menjaga tingkah laku dan budi pekerti.

5. Wanita mestilah berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan martabat mereka.


No comments:

Post a Comment